Ada apa di Kuala Gandah?


Bismillah,

Beberapa minggu lepas kami sekeluarga ke Temerloh Pahang kerana ada kawan ayah kahwin di sana. Oleh sebab bergerak dari KL, jadi ayah pun whatsapp sorang lagi kawan ayah dan ommi untuk konvoi sekali ke sana. Mereka suggest untuk tido di Temerloh, katanya hari berikutnya boleh ke Kuala Gandah. Ayah pun terus berfikir dan google, apa yang ada di Kuala Gandah?

Rupa-rupanya Kuala Gandah ini adalah pusat perlindungan gajah-gajah (Elephant Sanctuary), terletak di Lanchang Pahang, lebih kurang 10KM atau 15 minit perjalanan sahaja dari exit Karak Lebuhraya Pantai Timur. Oleh kerana tak pernah sampai, maka kami pun menggunakan Waze untuk ke sana pada hari kejadian. Tempoh perjalanan terasa jauh dan sunyi (sebab tak pernah lalu, sebenarnya dekat shj) melalui jalan negeri yang kecil dinaungi pohon-pohon getah ditepi-tepi jalan. Apabila sampai, agak terkejut kerana mendapati banyak kereta dan bas berada di sana.

Kawasan parking adalah luas, cuma jauh dan dekat sahaja dengan pintu masuk. Entrance fee pula adalah PERCUMA! Memang menakjubkan harganya… mungkin kerana mereka telah mendapat peruntukan tetap dari Jabatan Perhilitan setiap tahun. Tetapi sumbangan ikhlas dari pengunjung adalah amat digalakkan untuk menampung kos-kos pemeliharaan gajah-gajah ini.

Sebelum melihat gajah sebenar, pengunjung adalah dijemput untuk menonton dokumentari mengenai gajah di sebuah dewan pawagam kecil. Bagaimanapun kami terpaksa skip aktiviti ini kerana membawa anak-anak kecil. Selesai bergambar di kawasan bangunan pendaftaran, kami terus menuju ke kawasan perlindungan gajah. Kakak Farisya, Firsaz dan anak kawan ommi Aisyah sungguh bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk melihat gajah. Lihat sahajalah video ini, betapa seronoknya mereka dapat melihat gajah secara dekat 🙂

Kami dimaklumkan ada pertunjukkan gajah tidak lama lagi, jadi kami pun menunggu di kawasan tersebut. Bunyi gajah-gajah liar dari luar kawasan pelawat kedengaran dari jauh. Kami dapati tidak ramai di situ dan membuatkan kami terfikir adakah pertunjukkan tersebut dibatalkan. Rupa-rupanya, kami dimaklumkan pertunjukkan tersebut diadakah di pentas di satu lagi kawasan. Kami bergegas ke sana kerana masa pertunjukkan telah hampir tiba. Barulah kami dapati rupanya luas juga kawasan perlindungan gajah ni, siap ada kedai jualan makanan dan cafe untuk pengunjung. Sebaik sampai di kawasan pentas, pertunjukkan telah pun dimulakan dan kami terkejut dengan jumlah pengunjung yang hadir, walaupun hanya cuti hujung minggu.

Pertunjukkan gajah dimulakan dengan memperkenalkan nama-nama gajah, serta aksi-aksi yang boleh dibuat oleh gajah tersebut dan penjaganya. Selepas selesai persembahan gajah-gajah, aktiviti yang paling dinantikan pengunjung tiba, iaitu memberi makan kepada gajah-gajah dan peluang berselfie bersama gajah 🙂 Berbeza dengan kebiasaan di zoo, pemberian makanan gajah-gajah ini juga adalah percuma!

Tempoh kami disana hanyalah sekitar 2-3 jam sahaja, tetapi ianya adalah satu pengalaman baru yang menarik kepada kami dan juga anak-anak. Berhampiran dengan kawasan perlindungan gajah ini juga ada kawasan rusa yang boleh dilawati, tetapi kami berhasrat untuk pulang kerana anak-anak telah pun penat dan kami juga perlu kembali ke Kuala Lumpur kerana kerja keesokkan harinya. Bagi sesiapa yang meminati keindahan alam semula jadi dan haiwan-haiwan liar seperti gajah, anda pasti meminati tempat ini.


Komen & Pandangan
Tags: ,